top of page

Tak perlu malu ada anak Cerebral Palsy! Mereka anak syurga

Dalam soal zuriat, semua ibu bapa sudah pasti menginginkan anak yang dilahirkan itu sempurna dari segi fizikal dan mental. Namun, jika Allah berkehendaki untuk kita membesarkan anak istimewa, pasti ada ganjaran pahala di sebaliknya.

Membesarkan anak istimewa sememangnya penuh dengan cabaran, namun kunci utamanya adalah kesabaran. Setiap ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, sudah pasti mempunyai pengalaman yang tersendiri dan panduan untuk dikongsikan bersama-sama.

Seperti perkongsian ibu ini yang mempunyai anak Sindrom Cerebral Palsy, Norsiah Awang, 57, caranya membesarkan Mohd Imran, 25, seharusnya mendapat pujian, malah dapat memberikan pengetahuan khususnya kepada ibu bapa yang menerima nasib yang sama.

GAMBAR: NOOR HIEDAYAH BINTI AHMAD


Kena kuat semangat

Mohd Imran sama seperti bayi lain semasa melahirkannya dulu. Selepas 3 hingga 4 bulan, saya dapati anak saya masih belum boleh meniarap, leher lembik dan hal ini menyebabkan saya sukar untuk mendukungnya.

Apabila dah lama, barulah saya nampak dia mula bergolek-golek dan menurut saya, kunci utama untuk membesarkan anak istimewa ini adalah kesabaran yang tinggi dan semangat yang jitu. Allah berikan dugaan sebegini sudah pasti ada hikmahnya dan saya bersyukur kerana orang sekeliling tak pernah putus-putus memberikan dorongan dan kata-kata semangat.

Tipulah kalau saya cakap yang saya tidak pernah ‘down’. Waktu mula-mula bersalin, saya berasa sangat sedih sebab tak dapat melihat anak, malah untuk menyusukan pun tak boleh ekoran dia dimasukkan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

GAMBAR: NOOR HIEDAYAH BINTI AHMAD


Faham kehendak anak

Ketika kecil, Mohd Imran selalu mengamuk apabila tak dapat sesuatu barang yang dia inginkan. Dia suka baling barang dan pecahkan cermin sebagai tanda protes. Pada mulanya, saya memujuk dan perhatikan sahaja kerana masih belum terbiasa. Namun, apabila dah besar, dia dah semakin kurang mengamuk dan tension sekiranya tidak mendapat barang yang dia inginkan.

Cara untuk saya tenangkan dia adalah dengan membiarkan dia mendengar siaran radio menerusi telefon bimbit dan itu menjadi hobinya sekarang ini.

Selain itu, masa kecil juga Mohd Imran sering mengalami kekejangan otot pada lewat pagi. Saya tidak tahu nak buat apa apabila dia berada dalam keadaan begitu, jadi saya akan berulang-alik ke hospital setiap kali dia mengalami kekejangan otot.

GAMBAR: NOOR HIEDAYAH BINTI AHMAD


Perlu lebih terbuka

Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, sudah pasti ada perasaan bercampur baur. Tak perlu sorok sekiranya ada anak istimewa kerana mereka berhak mendapatkan kehidupan seperti kanak-kanak lain di luar sana.

Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu mendapatkan bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar anak anda memperolehi kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dan hal ini akan memudahkan ibu bapa terutamanya dari segi kewangan.

Ibu bapa di luar sana, kita perlu belajar menerima kenyataan dan reda dengan segala ujian yang diberikan. Saya yakin setiap anak istimewa ini sudah pasti mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan sebagai ibu bapa, kita perlu menyediakan ruang dan peluang untuk anak-anak istimewa ini berkembang.

Selalulah beri pujian kepada anak-anak apabila mereka sedang mencuba sesuatu yang baru. Supaya anak-anak lebih bersemangat menjalani kehidupan seharian walaupun dilahirkan dalam keadaan yang tidak sempurna.

Terdahulu, Mohd Imran telah disahkan menghidapi Sindrom Cerebral Palsy sejak dari dalam kandungan lagi. Ia berlaku akibat kerosakan otak yang terjadi semasa di dalam kandungan, semasa lahir atau selepas lahir.


Kredit: Norsiah Awang.


133 views0 comments

Comments


Post: Blog2 Post
bottom of page