Keperluan makanan untuk anak istimewa adalah berlainan daripada anak yang normal. Dalam membesarkan anak istimewa, ibu bapa perlu mengetahui perkara-perkara yang sesuai dan tidak untuk anak istimewa anda. Begitu juga dengan makanan. Keperluan kalori anak setiap kategori anak istimewa adalah berlainan dari yang lain.
Menurut Puan Intan Diana Hasbullah, Pegawai Dietetik Hospital Pantai Sungai Petani, keperluan kalori anak istimewa bergantung kepada masalah dan sakit yang mereka hidapi. Oleh itu ibu bapa perlu sering membuat pemeriksaan untuk anak-anak ini untuk mengenal pasti jenis sakit dan masalah mereka dan sentiasa mendapat nasihat daripada doktor pakar tentang diet mereka.
Bagi anak yang mempunyai masalah berkaitan saraf, otot dan tumbesaran, mereka memerlukan makanan yang mempunyai protein yang banyak untuk membantu dalam perkembangan tumbesaran mereka. Pastikan untuk memilih protein tanpa lemak dan yang berkualiti seperti ayam, daging, ikan dan telur yang segar.
Berikut merupakan 2 resipi ayam yang mudah, sedap serta mampu membantu tumbesaran bagi anak istimewa yang mempunyai masalah tumbesaran.
1. Ayam masak madu
Kredit: Google Image
Bahan-bahan:
1 ekor ayam- dipotong 8
1 sudu besar bawang putih
3 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar halia
1 sudu besar serbuk cili
1 biji limau nipis
2 sudu besar minyak sapi
50gm buah kurma – dikisar halus
100gm madu
1 biji buah oren
3 sudu besar minyak zaitun
Langkah penyediaan:
1. Gaulkan tepung jagung bersama bawang putih dan halia. Pastikan gaul rata.
2. Masukkan serbuk cili dan perahan air limau nipis. Kacau rata.
3. Masukkan ayam dan sedikit air. Perap selama 10 minit.
4. Gorengkan ayam hingga garing dan angkat. Ketepikan.
5. Untuk kuah madu, panaskan minyak sapi dan masukkan buah kurma, madu dan perahan jus oren. Biarkan hingga masak.
6. Tuangkan ke atas ayam dan siap untuk dihidangkan.
2. Ayam rangup sos lemon
Kredit: Google Image
Bahan-bahan:
250gm dada ayam – potong kecil
Sebiji telur
100gm tepung jagung
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu kecil bijan
Bahan untuk sos:
2 sudu besar kordial lemon
1 sudu teh tepung jagung
Sedikit air bancuhan jus Sunquick
Langkah penyediaan:
1. Gaulkan ayam bersama telur, tepung jagung, bijan dan minyak bijan kemudian biarkan selama 10 minit.
2. Panaskan minyak dan goreng ayam sehingga garing. Kemudian ketepikan.
3. Bagi sosnya, campurkan kesemua bahan sos dan tuangkan ke atas ayam yang siap digoreng.
4. Sedia untuk dihidangkan.
Commentaires