top of page

Penjagaan anak Cerebral Palsy tak sukar seperti disangka.

Updated: Jan 15, 2022




Anak-anak istimewa memerlukan penjagaan yang rapi bagi memastikan mereka dapat hidup dengan selesa seperti anak-anak yang lain. Penjagaan anak istimewa adalah sama seperti anak-anak normal yang lain. Namun bagi anak istimewa yang ada masalah fizikal, penjagaan mereka adalah sedikit berbeza dengan anak-anak istimewa yang lain.


Menurut Hasnah Abdul Rahim, 48, penjagaan anaknya yang menghidap Cerebral Palsy adalah tidak sukar seperti yang disangka. Walaupun anaknya mengalami masalah tersebut, dia tidak pernah sesekali merasakan kesusahan dalam menjaga anak istimewa tersebut.

Muhammad Asmawi Aidil Abdul Rahim, 16, merupakan seorang anak pramatang yang dilahirkan secara pembedahan.


Menurut ibunya, Ketika proses kelahiran, Asmawi ataupun mesra dipanggil Awie adalah normal seperti anak-anak yang lain. Namun, setelah peristiwa di mana anaknya didapati tersedak susu ketika dalam proses pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU) oleh seorang jururawat, segalanya berubah apabila Pakar Neuro telah mengesahkan bahawa anaknya mengalami masalah saraf di mana terdapat sesetengah bahagian di otak tidak dapat berfungsi dengan baik ekoran kejadian tersebut.


“Saya akui memang terdapat cabaran ketika membesarkan Awie terutama sekali di peringkat awal kelahiran antara tiga bulan sehingga umurnya tiga tahun apabila dia terpaksa menjalani beberapa pembedahan dan ketika dia terpaksa menggunakan tiub untuk makan kerana proses penjagaan adalah sedikit sukar. Namun, semakin lama saya tidak merasakan ianya satu beban malah satu anugerah untuk saya kerana mempunyai anak syurga ini. ” kata Hasnah.


Penjagaan Awie juga adalah sangat mudah di mana dia dan keluarga hanya perlu memastikan dia berada dalam keadaan selesa.


“Awie hanya akan merengek sedikit apabila dia tidak selesa contohnya seperti ketika membuang air besar. Walaupun berada dalam keadaan tersebut, Awie merupakan seorang anak yang sangat bersih. Kami juga hanya perlu memastikan dia makan secukupnya. Sehingga kini, dia hanya boleh mengunyah makanan-makanan lembut seperti nestum dan bubur. Jadi, bagi saya itu tidak menjadi masalah untuk saya dan keluarga menjaganya” katanya lagi.


Jika mempunyai masa yang terluang, ibunya juga akan membawa Awie menjalani fisioterapi, terapi saraf dan sebagainya. Hal ini penting untuk memastikan terdapat perkembangan dalam proses tumbesarannya dari segi fizikal dan mental.


“Dari segi kos pula, sejujurnya pada awal kelahiran memang perbelanjaan dalam membesarkan Asmawi Aidil adalah sangat besar kerana tahap kesihatannya adalah amat penting. Oleh itu, memang sejak dia kecil saya dan suami menabung untuk keperluan khasnya. Hal ini sangat penting terutama sekali apabila dia meningkat dewasa kelak,” ujar Hasnah.


Bagi Hasnah dan suami, kelahiran Asmawi Aidil merupakan satu anugerah yang terindah untuk mereka. Walaupun keadaan Awie tidak seperti anak-anak yang lain, namun kelahirannya menjadi penyeri hidup di dalam keluarga.


“Saya sentiasa menganggap Awie sebagai anugerah Allah S.W.T yang pa;ing ternilai dalam hidup saya. Kepada ibu bapa yang mempunyai nasib yang sama dengan saya, teruskan perjuangan kita dalam menjaga anak syurga ini. Mereka adalah manusia yang punya hati dan perasaan. Sayangi mereka kerana mereka perlukan kasih sayang daripada orang sekeliling terutama sekali ibu bapa mereka. Saya sentiasa percaya dengan ganjaran syurga yang akan dibawa oleh mereka di akhirat kelak,” katanya.



10 views0 comments

Comments


Post: Blog2 Post
bottom of page