Ibu anak istimewa kongsi cara menjaga kesihatan mental
- Noor Hiedayah Ahmad

- Jan 3, 2022
- 2 min read
Membesarkan anak istimewa adalah satu cabaran yang unik kerana ibu bapa perlu belajar kaedah keibubapaan yang baharu dan sentiasa beradaptasi dengan segala perubahan yang berlaku pada anak-anak.
Kepelbagaian cabaran dalam membesarkan anak istimewa ini secara tidak langsung akan mendatangkan tekanan kepada ibu bapa. Oleh itu, walaupun sibuk dan letih dalam menjaga anak istimewa, ibu bapa seharusnya tidak mengabaikan kesihatan diri dari segi fizikal dan mental.
Mari ikuti perkongsian yang dilakukan oleh Syajaratu-Dar Jantan, 48, yang berkongsi tip penjagaan kesihatan mental dirinya sepanjang membesarkan anak yang menghidap ADHD. Moga tip yang dikongsikan sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa yang menerima nasib yang sama lebih peka akan kesihatan mental diri sepanjang membesarkan anak istimewa masing-masing.

GAMBAR: SYAJARATU-DAR JANTAN
Cari kawan sekasut
Tak dinafikan yang saya agak terganggu pada mulanya, namun saya tetap cekalkan hati kerana ini adalah anugerah Allah kepada saya. Saya tetap kuatkan mental kerana saya yakin, sebagai manusia biasa, sudah pasti kita akan terus diuji. Untuk ibu bapa di luar sana, kita haruslah sentiasa set positif di fikiran kita dan yakin bahawa semua ciptaan di muka bumi ini adalah sebaik-baiknya.
Sepanjang saya membesarkan anak istimewa, saya sentiasa mencari dan mendekati ibu bapa yang menerima nasib yang sama seperti diri saya. Apabila kita bergaul dengan rakan-rakan yang sekasut dengan kita, kita dapat berkongsi pengalaman dan mendapatkan nasihat daripada satu sama lain.
Untuk ibu bapa di luar sana, sekiranya kita tidak dapat menanggung rasa kecewa atau sakit itu sendirian, teruslah pergi melakukan rujukan dari doktor yang bertauliah agar perlahan-lahan kita dapat beradaptasi dengan masalah yang dihadapi.







Comments