top of page

Ibu kongsi pengalaman dan cara mudah untuk kawal anak ada sindrom ADHD

Attention deficit hyperactivite disorder ataupun lebih dikenali sebagai ADHD, merupakan satu sindrom yang seringkali terjadi terhadap golongan kanak-kanak. ADHD dikaitkan dengan tiga keadaan iaitu kurang daya tumpuan, terlalu ikutkan kehendak hati dan aktif yang melampau.


Kebanyakan kanak-kanak yang menghidap ADHD sememangnya mempunyai tingkah laku yang sukar dikawal. Setiap kanak-kanak itu akan mempunyai sifat dan perangai yang berbeza-beza antara satu sama lain. Apabila anak didiagnosis ADHD, sudah pasti mak ayah berfikir macam mana untuk sembuhkan penyakit itu. Malah, mungkin ada yang tertanya-tanya, sama ada ADHD ini boleh disembuhkan ke?


Ayuh selami perkongsian yang dilakukan oleh Syajaratu-Dar Jantan, 48, yang berkongsi pengalaman sepanjang membesarkan anak yang menghidap ADHD dan juga pendekatan yang digunakannya dalam mengawal dan membentuk perkembangan diri anaknya yang aktif. Moga cara yang diamalkan dapat membantu ibu bapa di luar sana dalam mendidik anak-anak dengan cara yang lebih baik.

GAMBAR: SYAJARATU-DAR JANTAN


Penjagaan anak yang menghidap ADHD

Ini cerita mengenai anak special saya…


Saya mempunyai seorang anak istimewa, Muhammad Asyraf Amsyar Husnan, 20, yang menghidap ADHD. Sewaktu kecil untuk mengenalpasti bahawa dia mempunyai kelainan upaya sememangnya mengambil masa yang lama. Sebagai ibu bapa, saya dan suami sentiasa melakukan follow up di hospital dan ia mengambil masa bertahun-tahun, malah pelbagai kajian dilakukan untuk mengumpul ciri-ciri ADHD yang terdapat pada diri anak saya.


Anak saya disahkan mempunyai ADHD ketika dia berumur 4 tahun dan dia dikategorikan sebagai anak yang mempunyai masalah dalam pembelajaran. Pada mulanya, doktor masih belum mengenalpasti jenis ADHD yang dialami oleh anak saya, namun apa yang boleh saya katakan ketika itu, anak saya ini adalah 50% normal dan 50% sebagai tidak normal.


Daripada segi penjagaan anak saya, ia sama sahaja seperti anak normal yang lain, begitu juga dengan cara pemakanan yang diberikan oleh saya. Namun, daripada segi pembelajaran, saya perlu memberikan lebih tumpuan kerana tidak dinafikan bahawa, anak yang menghidap ADHD ini sangat mudah kehilangan fokus, tambah-tambah kalau kita tak berikan perhatian dan dorongan.

GAMBAR: SYAJARATU-DAR JANTAN


Tip untuk mengawal tingkah laku anak ADHD


Sebagai ibu bapa yang mempunyai anak istimewa, kita perlulah memberikan lebih perhatian agar anak-anak ini tidak mengalami tantrum sekiranya mereka berasa bahawa kita tidak mempedulikan mereka. Mengikut daripada pengalaman saya, saya akan pujuk dan peluk dia agar dia berasa selamat, malah kasih-sayang juga dapat dipupuk setiap hari. Hal ini yang akan mewujudkan hubungan yang baik antara ibu bapa dan anak-anak istimewa kerana sememangnya mereka inginkan belaian kasih sayang daripada kita.


Ada masa, anak saya akan cepat naik marah kalau mood dia tak baik. Apa yang saya buat adalah, saya akan ajak dia meronyok kertas hingga hancur untuk menghilangkan perasaan marah dia. Cara ini berkesan untuk anak saya dan saya berharap ibu bapa di luar sana juga dapat cuba aplikasikan cara ini bersama-sama anak mereka.


Saya juga akan ajar anak berselawat dan berzikir sebagai satu inisiatif untuk menenangkan jiwanya yang sering memberontak dan sebagainya. Kepada ibu bapa di luar sana, sekiranya anak tidak pandai bercakap, cukuplah sekadar mendengar alunan-alunan ayat al-Quran.

GAMBAR: SYAJARATU-DAR JANTAN


Ajak anak lakukan aktiviti luar


Aktiviti yang sedang aktif dilakukan oleh anak saya pada masa ini adalah memanah dan juga menunggang kuda. Terapi berkuda atau Hippo Therapy mampu merangsang dan menguatkan otot terutama bahagian paling dalam seperti otot pelvis dan tulang belakang. Terapi ini juga berjaya melatih anak saya mengimbangi diri, selain dapat mempertingkat kecekapan otak kiri agar anak lebih peka dengan persekitaran.

GAMBAR: SYAJARATU-DAR JANTAN


Cari sokongan lain


Selain daripada sokongan oleh suami, keluarga dan rakan terdekat, saya turut sertai kumpulan anak istimewa di Facebook. Ini kerana, apabila kita berada bersama-sama individu yang menerima nasib seperti kita, kita akan rasa lebih tenang dan diterima, malah lebih terbuka dalam berkongsi mengenai anak-anak. Kami dapat berkongsi pendapat antara ibu bapa dan juga tip untuk mengawal atau mengatasi masalah anak-anak ADHD kerana mereka ini mempunyai pelbagai perangai yang berbeza-beza.


Sememangnya saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap anak kerana ia memang sukar. Namun, cukup memadai sekiranya anak saya pandai menguruskan diri, membaca dan mengira. Ini kerana, rancangan untuk anak istimewa ini sukar untuk diceritakan kerana semuanya bergantung kepada mood mereka. Kita kena bijak mengawal emosi kita agar kita dapat mengawal emosi anak-anak. Semoga bermanfaat!

10 views0 comments

Comentarios


Post: Blog2 Post
bottom of page