top of page

PERBEZAAN TANTRUM DAN MELTDOWN


Sumber: Google


Adakah ibu bapa di luar sana tahu bahawa terdapat banyak perbezaan antara tantrum dan meltdown yang sering terjadi dalam kalangan anak-anak?


Meskipun tindak balas anak-anak yang mengalami tantrum ataupun meltdown adalah sama seperti mengamuk, menjerit serta menangis. Namun, masih terdapat beberapa perbezaan yang ketara untuk ibu bapa bezakan dua perkara ini lebih-lebih lagi melibatkan anak-anak bekeperluan khas.


Menurut Fatin Syazwina Shahidan, Pakar Terapi yang juga berkhidmat di Pusat Terapi Erat, mengatakan, masih terdapat beberapa ibu bapa yang tidak faham mengenai dua perkara ini. Hal ini juga boleh menyebabkan sesetengah ibu bapa buntu untuk menyelesaikan masalah ini sekiranya anak-anak mengalami tantrum ataupun meltdown.


Menurutnya, tantrum merupakan satu ledakan emosi yang menyebabkan anak-anak cenderung untuk bertindak menangis, menjerit atau mengamuk yang disebabkan oleh anak-anak tersebut tidak dapat apa yang dikehendakinya. Sebagai contoh, situasi yang sering terjadi di dalam kompleks beli belah, anak-anak yang mengamuk kerana ingin minum susu atau mengantuk akan tetapi ibu bapa tidak boleh memberikannya pada tempoh waktu itu juga. Situasi ini juga akan menyebabkan anak-anak terutamanya anak bekeperluan khas akan bertindak di luar kawalan sehingga perkara yang diingini dapat ditunaikan oleh ibu bapa.


Manakala, meltdown pula merupakan satu tindakan yang sama seperti tantrum iaitu mengamuk, menjerit dan sebagainya yang disebabkan oleh masalah deria yang diterimanya pada waktu-waktu yang tertentu. Secara dasarnya, meltdown adalah disebabkan oleh terlalu banyak deria seperti deria bunyi yang perlu diterima oleh anak-anak bekeperluan khas ini. Contoh-contoh meltdown yang sering terjadi adalah apabila, anak-anak yang pertama kali menjejakkan kaki di kompleks beli belah dimana terlalu banyak bunyi serta visual yang diterimanya sehingga menyebabkan mereka merasakan tidak selesa dan akhirnya mula mengamuk dan sebagainya.


“Ibu bapa perlu tahu bahawa, anak-anak bekeperluan khas ini tidak bolen menapis deria-deria yang ingin diterima. Mereka hanya menerima semua deria-deria yang ada di sekeliling mereka contohnya bunyi sehingga menyebabkan mereka mula merasa tidak selesa dengan keadaan tersebut, kata Fatin.


Fatin turut menyatakan, ibu bapa perlu mengenal pasti dahulu sama ada anak-anak mereka mengalami tantrum ataupun meltdown. Hal ini kerana, pendekatan yang lebih sesuai terhadap dua perkara ini adalah perlu untuk diketahui memandangkan keduanya adalah perkara yang berbeza.


“Ibu bapa perlu tahu cara pendekatan yang sesuai untuk membantu anak-anak berkembang dengan sihat. Bukan sahaja, sihat dari aspek fizikal malahan turut sihat dari aspek mental,” tambahnya.


15 views0 comments

Comments


Post: Blog2 Post
bottom of page