top of page

Anak Kelebihan Kromosom Adalah Satu Anugerah


Sumber: Nursuzilawati


Kelebihan kromosom atau lebih dikenali sebagai Sindrom Down merupakan satu keadaan yang terjadi pada kanak-kanak yang boleh melibatkn masalah pembelajaran serta kesihatan, termasuklah masalah jantung, darah, sistem penghadaman dan organ-organ lain.


Menurut Dr Khoo Yoong Khean di dalam artikelnya yang bertajuk Sindrom Down: Insan Istimewa, keadaan ini berpunca daripada gangguan masalah pada unit genetik atau kromosom yang mengandungi maklumat asas pembentukan seseorang manusia. Kanak-kanak yang disahkan Sindrom Down memiliki jumlah kromosom yang lebih daripada sepatutnya yang menyebabkan perkembangan mereka berbeza daripada kanak-kanak yang lain.


“Sindrom Down ini boleh dikesan seawal usia masih di dalam kandungan ibu, dan kepentingan untuk mengesan keadaan ini dengan lebih awal adalah untuk memastikan ibu bapa lebih bersedia sama ada mental atau emosi sebelum menyambut kelahiran anak mereka,” kata Dr Khoo di dalam artikelnya.

Dr Khoo turut mengatakan bahawa keadaan kelebihan kromosom ini adalah bersifat kekal. Namun, rawatan perubatan yang lain boleh dilakukan untuk memastikan kualiti hidup mereka bertambah baik.

Nursuzilawati Mohd Salleh, 41 mempunyai seorang anak kelebihan kromosom yang diberi nama Nur Adzrissa Sumayyah Addey mengatakan, beliau tidak pernah berasa terbeban dalam menjaga Sumayyah, malahan lebih bersyukur memandangkan Sumayyah adalah seorang anak yang senang dijaga.


“Saya menganggap Sumayyah sama seperti kanak-kanak yang lain dan tidak pernah berasa dia berbeza hanya kerana dia kanak-kanak sindrom down”, kata Nursuzilawati.

Sumayyah kini berusia 7 tahun, dan merupakan kanak-kanak yang sangat lincah dan mesra lebih-lebih lagi dalam kalangan rakan-rakan sebayanya.


Menurut ibunya juga, Sumayyah dikatakan sangat rajin dan gemar pergi ke sekolah. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, Sumayyah sangat aktif sama ada dalam pelajarannya, mahupun bermain bersama rakan-rakan yang lain.


“Percakapan Sumayyah sama seperti kanak-kanak berusia dua tahun. Namun itu bukanlah penghalang dirinya untuk berkomunikasi serta bermain bersama kanak-kanak yang lain", jelas Nursuzilawati lagi.


Hal ini juga jelas menunjukkan bahawa, Sumayyah berkembang dengan sangat baik terutamanya dalam aspek kemahiran bersosial meskipun merupakan kanak-kanak sindrom down.


“Saya berharap Sumayyah dapat membesar dengan baik dan menjadi seorang anak yang solehah untuk ibu bapanya,” kata Nursuzilawati.


Kapsyen: Sumayyah yang tersenyum ceria bersama rakan dan gurunya di sekolah

Sumber: Nursuzilawati


Kapsyen: Selain digelar sebagai kanak-kanak yang ceria, Sumayyah juga merupakan seorang kanak-kanak yang gemar bergambar atau lebih dikenali sebagai fotogenik.

Sumber: Nursuzilawati

5 views0 comments

Comments


Post: Blog2 Post
bottom of page