top of page

Cara Ketahui Anak Autism Seawal Usia Si Manja


Sumber: Google


*Ini adalah tip daripada seorang pakar terapi kanak-kanak untuk ibu bapa menilai sendiri keadaan anak mereka sebelum mengambil langkah yang seterusnya.


Autism merupakan satu gangguan yang melibatkan perkembangan neuro kanak-kanak yang memberi kesan kepada perkembangan otak serta mempengaruhi keupayaan mereka dalam berkomunikasi, berinteraksi secara sosial dan belajar seperti kanak-kanak yang lain.


Fatin Syazwina Shahidan, seorang pakar terapi kanak-kanak (Occupational Therapy) mengatakan bahawa autism tidak boleh dikenal pasti dengan hanya melihat secara fizikal seseorang kanak-kanak. Akan tetapi, autism ini boleh dilihat melalui cara mereka berkomunikasi atau bersosial serta berlakunya tindakan yang berulang.


“Autism dalam kalangan kanak-kanak boleh dilihat seawal usia mereka 18 bulan,” kata Fatin.

Oleh itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan penting dalam menilai sendiri perkembangan anak-anak sebelum mengambil tindakan yang sewajarnya. Di sini, akan dikongsikan beberapa tip untuk ibu bapa ketahui dengan lebih awal sebelum berjumpa dengan pakar kanak-kanak.


1) Ibu bapa boleh melihat kelainan pada anak-anak seawal usia masih bayi. Sebagai contoh, ketika bermain dengan mereka, tiada interaksi mata (eye contact) antara anak-anak dan ibu bapa.


2) Ibu bapa juga boleh melihat ekpresi muka anak-anak dengan bermain (peekaboo). Adakah terdapat tindak balas ekspresi seperti senyum, ketawa ataupun sebaliknya.


3) Ibu bapa boleh melihat tindak balas anak-anak terhadap nama mereka. Seperti ketika ibu bapa memanggil mereka dengan nama atau panggilan, adakah anak-anak bertindak balas terhadap panggilan tersebut dengan menoleh atau melihat kepada ibu bapa.


4) Dalam interaksi sosial, ibu bapa boleh menilai adakah anak-anak mereka lebih suka menyendiri ataupun boleh bermain bersama orang lain, seperti bermain dengan adik beradik yang lain mahupun dengan kawan-kawan sebaya dengan mereka.


5) Play skills atau kemahiran bermain dalam kalangan anak-anak juga amat penting untuk ibu bapa ketahui adakah anak mereka autism ataupun sebaliknya. Ibu bapa boleh melihat sendiri bagaimana anak-anak bermain dengan alat mainan mereka. Sebagai contoh, sekiranya anak-anak bermain dengan mainan memasak, adakah mereka tahu fungsi mainan cawan untuk minum dan sebagainya.


6) Dari segi tingkah laku pula, anak-anak autism akan cenderung melakukan perbuatan seperti menepuk tangan, suka melihat sesuatu pergerakan seperti melihat kipas berpusing dan gemar menyusun mainan dalam satu barisan


Sekiranya, ibu bapa telah mengesan anak-anak mereka mempunyai tingkah laku yang disenaraikan di atas, ibu bapa perlulah membuat tindakan selanjutnya dengan berjumpa pakar kanak-kanak.


“Ibu bapa perlu untuk terus berjumpa dengan pakar kanak-kanak, untuk memastikan mereka berkembang dengan cara dan teknik yang betul,” tambah Fatin.

8 views0 comments

Yorumlar


Post: Blog2 Post
bottom of page