top of page

Langkah tangani anak tantrum oleh pakar psikologi kanak-kanak

“Mama, adik nak mainan tu,” kata Hafiz sambil menunjukkan mainan yang dimaksudkan kepada ibunya.


Sebagai seorang ibu, detik seperti ini bagaikan mimpi ngeri kepada mereka ketika membawa anak-anak ke pasar raya khususnya. Kanak-kanak yang masih kecil akan mudah tertarik dengan mainan yang dipamerkan di pasar raya di mana ianya normal bagi kanak-kanak seusia mereka.


Apabila permintaan mereka ditolak, mereka akan menangis dan mengamuk tanpa menghiraukan keadaan di sekeliling yang disebut sebagai tantrum. Haa, bila anak dah mula menangis mesti ibu mula panik, betul tak ? Pelbagai perasaan bercampur-baur ketika itu dan mesti rasa cepat-cepat nak balik kerana malu dengan orang sekeliling yang melihat.



SUMBER : E-MEDICINE HEALTH


Sebagai ibu bapa yang bijak, anda mesti tahu macam mana nak kawal tantrum anak anda dan boleh sambung berbelanja dengan hati yang senang. Mari sini Majalah Bahagia kongsikan tips yang diberikan oleh pakar psikologi kanak-kanak, Katyana Azman untuk menangani kanak-kanak tantrum.


1. Pujuk anak setelah sedikit tenang

Ibu bapa yang berhadapan dengan anak sedang tantrum, tidak digalakkan untuk terus pujuk mereka ketika sedang mengamuk. Perkara ini akan membuatkan mereka akan lebih kuat menangis kerana mereka beranggapan dengan cara itu sahaja mereka akan dapat apa yang diinginkan. Sebaliknya, ibu bapa boleh peluk dan memujuk mereka setelah kelihatan mulai tenang.


2. Alih perhatian anak untuk lakukan perkara lain

Tantrum ini adalah cara anak kita berkomunikasi untuk memberitahu hal yang ingin disampaikannya dalam bentuk non-verbal. Hal ini perkara normal dalam kalangan kanak-kanak. Apabila mereka sedang tantrum, ibu bapa boleh alihkan perhatian mereka dari apa yang ditangisnya seperti mengajak mereka makan aiskrim. Kanak-kanak akan lupa perkara yang diinginkannya apabila ibu bapa cuba mengalih perhatian pada benda baru.


3. Bawa anak ke tempat lain

Apabila di pasar raya, pasti kita akan jumpa satu bahagian khas untuk permainan kanak-kanak, betul tak ? Kadang-kadang bukan kita tak nak belikan anak-anak mainan, tapi stok mainan sudah banyak di rumah membuatkan ibu bapa akan rungsing apabila berjalan di bahagian mainan ini. Bawa anak ini jauh dari tempat yang menyebabkan anak kita tantrum.


Menurut pakar, apabila anak buat perangai (tantrum), ibu bapa harus jauhkan anak dari apa yang dia inginkan. Jangan ajar untuk beli mainan atau berikan apa yang dia inginkan kerana cara ini akan membuatkan mindset mereka menyatakan mereka akan dapat apa yang diinginkan dengan cara mengamuk. Hal ini sekaligus akan mempengaruhi proses ketika anak membesar.



SUMBER : GOOGLE


Dengan perkongsian yang diberikan, diharapkan ibu bapa terus bersabar dan tabah dengan telatah anak-anak kerana ianya juga merupakan satu proses dalam kehidupan kanak-kanak dan perkara normal bagi setiap pasangan ibu bapa di dunia ini. Janganlah kita berasa malu dan marah dengan sikap anak kecil yang masih tidak tahu berkomunikasi dengan baik sehingga menjurus kepada insiden yang tidak diingini.

6 views0 comments

コメント


Post: Blog2 Post
bottom of page