top of page

Ibu kongsi tip penjagaan mental dalam pengurusan zuriat istimewa.

Anak istimewa sememangnya memerlukan penjagaan yang sangat rapi dan teliti. Mereka ini memerlukan perhatian ibu bapa yang mencukupi. Ibu bapa yang mempunyai anak ataupun zuriat istimewa ini bukan sahaja diuji dengan masalah anak malah turut berhadapan dengan penjagaan mental dan fizikal untuk menguruskan anak istimewa mereka.


Seorang suri rumah merangkap ibu kepada seorang anak istimewa, Siti Zuraida Ahmad, 36, mengatakan bahawa kesihatan mental dan fizikal sangat penting bagi memastikan mereka mampu dan terus kuat untuk menguruskan anak istimewa mereka.


Berikut merupakan tip yang diberikan olehnya dalam penjagaan mental bagi ibu bapa yang mempunyai nasib yang sama dengannya.


Tip penjagaan mental dalam pengurusan zuriat istimewa.



1. Memperkukuhkan hubungan sosial


Hubungan sosial bersama dengan orang di sekeliling terutama sekali yang banyak memberikan kita aura positif sangat diperlukan untuk memastikan mental ibu bapa sihat terutama sekali antara pasangan, keluarga dan rakan-rakan yang turut mempunyai anak istimewa. Hubungan sosial yang kukuh ini dapat mengurangkan tekanan sekaligus mampu meningkatkan tahap kesihatan ibu bapa.


2. Mengamalkan pemakanan yang sihat


Pemakanan ataupun diet merupakan satu tip yang penting untuk memastikan tahap kesihatan ibu bapa berada dalam keadaan yang baik. Utamakan makanan yang memberi tenaga seperti karbohidrat, fiber serta buah-buahan. Makanan juga menyumbang kepada ‘mood’ seseorang. Oleh itu, jaga pemakanan anda untuk anda terus melayan karenah anak istimewa anda serta memastikan mental anda berada dalam keadaan yang baik. Jangan lupa juga untuk minum air dengan mencukupi seperti yang disarankan oleh doktor.


3. Melakukan aktiviti kegemaran bersama anak


Luangkan masa anda dengan melakukan aktiviti yang mampu menggembirakan anda bersama anak. Bagi memastikan kesihatan mental ibu bapa berada pada tahap yang baik, lakukan aktiviti yang anda gemar lakukan bersama-sama dengan anak anda. Selain itu, aktiviti yang dilakukan bersama-sama itu juga mampu mengukuhkan lagi hubungan kasih sayang sesama keluarga. Antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak istimewa anda adalah seperti melukis, bermain alat muzik, beriadah dan aktiviti yang boleh membantu merangsang kemahiran anak anda seperti lego, tanah liat dan plastisin.



4. Elakkan meluangkan masa yang banyak terhadap sosial media


Era pandemik ini membuatkan kita banyak meluangkan masa bersama gajet. Namun, hal tersebut merupakan satu kesalahan yang besar terutama sekali bagi ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini. Sebaliknya, jangan luangkan terlalu banyak masa dengan media sosial kerana terlalu banyak kandungan media sosial yang mampu membuatkan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa ini mengalami tekanan. Sememangnya ramai ibu bapa sering memuat naik hal-hal berkaitan dengan anak-anak mereka. Tindakan mereka ini mampu membuatkan ibu bapa anak istimewa ini membandingkan situasi mereka dengan ibu bapa normal yang lain.


5. Sentiasa berfikiran positif terhadap anak anda


Tidak dapat dinafikan lagi, anak istimewa memerlukan perhatian dan penjagaan yang lebih serta mempunyai cabaran yang tertentu. Namun, hal tersebut tidak perlu dijadikan sebagai halangan untuk ibu bapa terus berfikiran positif terhadap anak mereka. Anggaplah kelahiran mereka ini sebagai seri dalam hidup anda dan bakal menjadikan masa depan anda lebih bermakna dengan kehadiran mereka. Jangan jadikan cabaran untuk membesarkan mereka itu sebagai peluntur semangat anda kerana mereka bakal meminpin anda ke syurga.


18 views0 comments

Comments


Post: Blog2 Post
bottom of page