top of page

Berkongsi atau tidak, ketahui had dalam 'sharenting'

Setiap individu termasuklah golongan ibu bapa menggunakan media sosial sebagai medium untuk berkongsi mengenai kehidupan masing-masing. Dahulu, golongan ibu bapa menjadikan buku-buku tentang penjagaan anak-anak, surat khabar atau televisyen sebagai medium untuk berkongsi mengenai perkembangan anak-anak.


Namun kini, dengan berlakunya peredaran masa, ibu bapa semakin mahir dan cekap menggunakan media sosial sebagai medium untuk berkongsi segala pengalaman mereka bersama anak-anak.


‘Sharenting’ adalah satu terma yang baru dibangkitkan hasil daripada kombinasi perkataan ‘oversharing’ dan ‘parenting’ seperti mana yang telah diperkenalkan oleh Steven Leckart pada 2012.


GAMBAR: APLIKASI PINTEREST


Walaupun berkongsi itu tidak salah, namun ibu bapa perlu mengetahui had atau panduan sebelum melakukan sebarang kiriman melalui media sosial berkenaan dengan anak-anak mereka. Ini merupakan inisiatif yang dapat dilakukan oleh ibu bapa di luar sana sebelum berkongsi mengenai anak-anak:



GAMBAR: APLIKASI PINTEREST


Hadkan pengikut anda

Kawal tetapan privasi post anda di setiap media sosial dan anda boleh menetapkan had secara sewajarnya. Anda juga boleh menetapkan profil media sebagai ‘peribadi’ dan bukan ‘umum’. Ini untuk mengelak agar individu yang tidak dikenali daripada dapat mengakses semua kiriman yang anda lakukan.


Pilih laman perkongsian gambar yang lebih tertutup

Laman seperti Google Photo atau Dropbox lebih selamat dan tertutup, malah lebih mudah untuk mengawal aksesnya. Anda boleh elak daripada menggunakan media sosial sebagai arkib gambar, terutama gambar bersama anak-anak atau keluarga.


GAMBAR: INSTAGRAM


Jangan ikut trend terkini

Elakkan bermain game secara dalam talian yang menanyakan mengenai maklumat peribadi di aplikasi seperti TikTok dan Instagram. Game itu akan bertanyakan mengenai tarikh lahir, tarikh perkahwinan, bilangan anak dan sebagainya sekadar suka-suka. Namun, tanpa sedar, kita telah pun membocorkan maklumat peribadi diri anak-anak dan keluarga kepada orang yang tidak bertanggungjawab.

GAMBAR: APLIKASI PINTEREST


Guna nama samaran

Ini merupakan salah satu cara untuk melindungi privasi dan identiti anak anda. Anda boleh menggunakan akronim atau nama timangan seperti ‘Adik’, ‘Along’ atau ‘Angah’. Anda juga boleh kaburkan muka anak-anak atau menggunakan emoji untuk menutup muka anak-anak semasa berkongsi di laman media sosial anda.


Hormati privasi kanak-kanak lain

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab, anda bukan sahaja perlu melindungi privasi anak anda, namun kanak-kanak lain di luar sana juga. Elakkan daripada mengambil gambar kanak-kanak lain dan dimuat naik ke dalam media sosial anda. Sebelum anda membuat kiriman, minta izin terlebih dahulu oleh ibu bapa kanak-kanak tersebut agar anda dapat melindungi privasi mereka juga.

GAMBAR: APLIKASI PINTEREST


Minta kebenaran mereka

Anak yang berusi 6 hingga 8 tahun, sudah mula faham apa yang kita lakukan. Oleh itu, ada baiknya, sekiranya kita mula minta kebenaran mereka agar mereka faham mengenai konsep privasi, keizinan dan media sosial. Anda perlu jelaskan mengapa anda ingin memuat naik gambar mereka dan hormatilah keputusan mereka sekiranya mereka tidak bersetuju.


Tampaknya, privasi adalah suatu perkara yang rumit kerana ia merupakan hak asasi yang mudah dicerobohi. Isu sharenting ini juga telah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak kerana ia merupakan suatu perbuatan pencerobohan privasi yang dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anak dan ini boleh mendatangkan kesan terhadap anak-anak sekiranya dilakukan secara berlebihan tanpa kawalan.


Ikuti pautan ini:

https://majalahbahagia.wixsite.com/website/post/sharenting-adakah-anda-gemar-melakukannya untuk ketahui kesan daripada perbuatan sharenting yang dilakukan oleh ibu bapa terhadap anak-anak mereka.

6 views0 comments

Comments


Post: Blog2 Post
bottom of page