top of page

Keunikan satu keistimewaan


Dilahirkan dalam keadaan tiada bebola mata kiri serta mempunyai sumbing bibir dan lelangit (cleft lip and palate) tidak menjadi penghalang buat dirinya untuk terus melangkah ke depan dan meneruskan perjuangan dalam kehidupannya. Anak kelahiran negeri Kedah, Siti Nurhikmah Razlan, atau lebih mesra dengan panggilan Hikmah, menggangap dirinya sudah cukup sempurna meskipun hanya mampu melihat dengan menggunakan sebelah mata.

Bercita-cita untuk menjadi seorang guru, Hikmah sentiasa cuba melakukan yang terbaik meskipun menghadapi kesukaran dalam proses pembelajaran lebih-lebih lagi hanya mampu melihat dengan menggunakan sebelah mata. Hal ini menjadi lebih mencabar apabila dia turut disahkan rabun jauh dan bergantung kepada pemakaian kaca mata sejak berusia 12 tahun.

“Saya disahkan menghadapi rabun mata oleh pakar mata apabila penglihatan sebelah mata saya mula tidak jelas dan sedikit kabur. Justeru itu, ibu bapa saya segera membawa ke kedai kaca mata untuk memastikan saya lebih fokus dalam pembelajaran”, kata Hikmah.

Kecacatan fizikal yang dialami oleh Hikmah sememangnya adalah sejak lahir. Orang ramai mungkin menganggap keadaannya oleh satu kemalangan. Dia juga tidak pernah menyalahkan sesiapa, malahan dia bersyukur kerana masih diberi peluang untuk merasai kehidupan di dunia ini.

Anak sulung daripada dua beradik ini disahkan menghadapi sumbing bibir dan lelangit (cleft lip and palate) dan tiada bebola mata kiri ketika hari pertama dilahirkan. Sejak bayi juga, Hikmah telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses pembedahan. Ibu bapa Hikmah memilih untuk menjalankan pembedahan sumbing bibir dan lelangit seawal usia itu bagi memastikan anak perempuan sulung mereka mendapatkan kehidupan yang sempurna.

“Saya turut membaca info-info dari Internet yang mengatakan sekiranya anak yang sumbing ini tidak dirawat dan dibedah, ianya akan menyebabkan anak menjadi lambat bercakap dan percakapannya nanti juga menjadi tidak jelas seperti orang normal yang lain”, kata Razlan Ramli, bapa Hikmah.

Ketika berusia 9 tahun, satu lagi temu janji pembedahan dilakukan untuk mata di kirinya. Ibu bapa Hikmah juga sangat komited dalam memastikan kehidupan anaknya lebih sempurna dengan melakukan bermacam cara seperti merujuk kepada hospital-hospital pakar berkenaan dengan keadaan anaknya itu. Disebabkan itu juga, Hikmah telah dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian untuk menjalani beberapa proses pembedahan mata palsu.

Kata Hikmah, ramai doktor telah menyarankan untuk memakai mata palsu. Namun, kesemuanya tidak padan memandangkan mata kiri Hikmah tidak mempunyai tulang untuk menyokong mata palsu tersebut. Tambahan pula, doktor turut memberi saranan untuk melakukan satu lagi pembedahan terhadap mata kirinya untuk membuka lebih banyak ruang bagi memudahkan proses mengganti mata palsu. Akan tetapi, saranan itu ditolak oleh Hikmah dan ahli keluarga.

“Ibu bapa saya menolak saranan tersebut kerana takut sekiranya berlaku jangkitan kuman dan akhirnya menjadikan kedua mata saya tidak dapat melihat. Disebabkan itu, kami mengambil keputusan untuk menghentikan segala proses pembedahan untuk mata kiri saya ketika saya berusia 12 tahun,” kata Hikmah.

Hikmah turut mengatakan waktu itu dia masih kecil untuk memahami setiap yang berlaku di sekelilingnya. Namun, apa yang dirasai ketika itu hanyalah perasaan penat, di mana dia harus berulang-alik ke hospital serta sakit disebabkan beberapa ujian dijalankan ke atasnya sebelum melakukan pembedahan.

“Saya tidak mempunyai masalah pun melihat dengan sebelah mata, dan saya juga sudah berasa sangat bersyukur. Setiap hari saya mengingatkan diri saya masih ramai di luar sana yang lahir sahaja sudah tidak boleh melihat apa-apa”, jelas Hikmah.

Hikmah mengakui kini dia sudah terbiasa dengan ejekan dan sindiran daripada keadaan sekeliling. Perkara ini juga tidak menjadi penyebab dirinya lemah semangat disebabkan oleh kekuatan yang dikumpul sejak kecil.

“Zaman sekolah saya, lagi teruk saya diejek dan dihina, sebab itu saya menjadi sudah terbiasa”, kata Hikmah.

Nur Nadhrahanani Sarju mengatakan tingkah laku rakan yang lain terhadap Hikmah adalah sangat tidak patut hanya dengan memandangkan keadaan fizikal. Hikmah juga seperti manusia yang lain yang mempunyai perasaan jika diperlakukan dan dimalukan sedemikian rupa.

“Selalunya jika Hikmah diejek dan ketika itu dia berada dekat dengan saya, saya akan terus memarahi si pelaku tersebut”, kata Nadhrahanani.

Berkat kesabaran dalam menuntut ilmu meskipun sering diejek dan dimalukan, Hikmah kini berjaya menyambung pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam kursus Pengurusan Sistem Pejabat di Universiti Teknologi Mara, kampus Puncak Alam Selangor. Dia turut merasakan penerimaan rakan-rakan di universiti terhadap dirinya adalah jauh lebih baik jika dibandingkan ketika zaman sekolahnya.



Disember 2019 menjadi titik perubahan Hikmah apabila swafotonya menjadi tular. Disebabkan itu juga, salah satu pengasas produk solekan yang terkenal memanggil dirinya untuk menjadi model alat solek bagi produk berkenaan.

Pada mulanya, Hikmah mengatakan masih berasa takut dan ragu-ragu terhadap penerimaan masyarakat berkenaan dengan keadaan fizikalnya. Dia menjadi lebih takut sekiranya tidak mampu bertahan apabila dicemuh dan diejek. Namun, setelah diyakinkan oleh ibunya yang menjadi lebih berani tampil ke hadapan, Hikmah menerima tawaran tersebut.

Lebih mengejutkan lagi, setelah mukanya disiarkan di media sosial sebagai model alat solek, telah menyebabkan ramai pengasas alat solek yang lain termasuk selebriti terkenal memanggilnya untuk turut menjadi model. Hikmah mengatakan seakan tidak mempercayai penerimaan orang lain terhadap dirinya sebegini positif, lebih-lebih lagi jika memperlihatkan keadaan fizikalnya. Perkara ini telah menyebabkan dirinya semakin yakin dan berani untuk sentiasa menonjolkan diri.

Sepanjang menjadi model alat solek, terdapat banyak perkara yang dipelajari antaranya adalah untuk sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Bagi Hikmah, tiada wanita yang tidak cantik di dunia ini melainkan wanita yang tidak yakin sahaja. Pemakaian alat solek hanyalah sebagai satu senjata untuk lebih berani menonjolkan diri.

Tambahan pula, apabila melihat trend semasa dimana ramai wanita gemar berkongsi gambar dengan kapsyen merasakan diri tidak cantik, menjadikan Hkmah sedih melihat perkara sedemikian. Walaupun kebanyakan mereka yang berkongsi gambar berkenaan sudah terlihat cantik dan sempurna, namun mereka masih menggelarkan diri mereka tidak lawa dan sebagainya.

“Saya sebenarnya amat sedih kalau terbaca berkenaan dengan orang yang mengatakan dirinya tidak cantik atau tidak sempurna di media-media sosial. Perkara ini seakan orang tersebut tidak bersyukur dengan apa yang ada pada dirinya”, kata Hikmah.

“Be confident with yourself itu adalah ‘quote’ kegemaran saya kerana saya mahu semua orang di luar sana untuk tampil yakin dengan diri sendiri. Hal ini kerana, saya merasakan bahawa semua orang perlu lebih bersyukur dengan apa yang diberi untuk hidup yang lebih tenang dan gembira selalu”, tambah Hikmah.




18 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


Post: Blog2 Post
bottom of page