Hilang deria penglihatan bukan penghalang untuk menempa kejayaan
- Noor Hiedayah Ahmad

- Dec 27, 2021
- 2 min read
Menjalani kehidupan sebagai seorang yang cacat penglihatan sememangnya berbeza sekiranya hendak dibandingkan dengan seseorang yang memiliki penglihatan sempurna. Ia diibaratkan seperti satu ujian yang berat untuk seluruh 24 jam yang dimiliki oleh seseorang yang mengalami cacat penglihatan kerana semua perkara adalah terbatas.
Aziz Abidin merupakan insan yang lahir secara normal iaitu cukup segala sifat namun diberi ujian pada usianya 16 tahun apabila kehilangan kebolehan penglihatan. Prinsip hidup tidak mudah berputus asa walaupun kini bergelar Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan, tetap membolehkan Aziz Abidin, 31, yang berasal dari Limbang, Sarawak, mengorak langkah dalam membina kerjaya sekali gus mendapatkan kehidupan yang lebih baik.

GAMBAR: AZIZ ABIDIN
Perjalanan hidup bergelar seorang OKU cacat penglihatan
Aziz Abidin mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Patiambun semasa berada di Tingkatan 5. Ketika itu, Aziz Abidin masih belum mempunyai pengetahuan mengenai kewujudan sekolah Pendidikan Khas, yang mana menempatkan individu-individu yang menerima nasib sama seperti dirinya.
“Saya terpaksa berhenti dari Sekolah Menengah Sains, Miri dan berpindah ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah ekoran daripada keadaan saya yang tidak mengizinkan. Waktu itu saya tak boleh membaca kerana mata kiri saya tidak nampak langsung, manakala mata kanan pula sangat kabur. Jadi, saya hanya mendengar sahaja semasa di sekolah dan rakan-rakan pula akan membacakan buku kepada saya,” ulas Aziz.

GAMBAR: AZIZ ABIDIN
Dorongan berdikari dalam kehidupan seharian
Semasa berada di sekolah Pendidikan Khas, Aziz Abidin mula belajar berdikari dalam menjalani kehidupan seharian agar tidak terus menjadi beban orang sekeliling terutamanya ahli keluarga.
“Semasa di sekolah Pendidikan Khas, di sana ramai rakan-rakan yang menerima nasib yang sama seperti saya, malahan ada yang cacat penglihatan sejak kecil lagi. Dari sana, saya mula kagum melihat cara mereka berdikari dan menguruskan diri sendiri, jadi saya mula belajar sedikit demi sedikit menguruskan diri sendiri dalam keadaan tidak nampak. Secara tidak langsung, saya sudah mula terbiasa berdikari sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain,”
“Ibu bapa merupakan antara insan yang menjadi tulang belakang saya dan merekalah yang memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan saya berjaya dalam pembelajaran dan kehidupan,” ulas Aziz.






Comments